Tahukah anda? Pihak Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif sama ada berbentuk tunai, e-wallet, pembiayaan, geran dan sebagainya. Bantuan dan inisiatif ini diperkenalkan khusus kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka dari kalangan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Salah satunya adalah melalui sebuah program yang dikenali sebagai Program i-Sejahtera. Berikut adalah maklumat dan penjelasan lanjut berkenaan program ini: –
Program i-Sejahtera
Untuk pengetahuan semua, Program i-Sejahtera adalah sebuah inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah dan memerlukan.
Terdapat dua jenis bantuan di bawah program ini iaitu bantuan secara tahunan (dibayar sekali setiap tahun) dan bantuan secara sekaligus atau ‘one-off’.
Bagi bantuan secara tahunan, ia adalah Program Penghargaan Warga Emas (RM200); Program Bantuan Ibu Tunggal (RM100); Program Suri Emas (RM100) dan Program Bantuan OKU (RM200). Untuk bantuan secara ‘one-off’ pula, ia adalah Program Anak Emas (RM200) dan Khairat Kematian (RM1,000).
Syarat-syarat Kelayakan Bagi Setiap Bantuan
- Program Penghargaan Warga Emas
- Pemohon mestilah berumur 60 tahun ke atas pada tahun semasa mendaftar.
- Berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang.
- Program Bantuan Ibu Tunggal
- Warganegara Malaysia.
- Berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang.
- Bercerai atau kematian suami.
- Berumur bawah 60 tahun semasa mendaftar.
- Tidak berkahwin semula.
- Mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.
- Program Suri Emas
- Warganegara Malaysia.
- Berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang.
- Pemohon merupakan suri rumah dan tiada pendapatan tetap.
- Wanita masih berumahtangga.
- Pemohon mestilah berumur bawah 60 tahun semasa mendaftar.
- Program Bantuan OKU
- Warganegara Malaysia.
- Menetap di Negeri Pulau Pinang.
- Pemohon mestilah seorang OKU yang memegang kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara tidak terhad kepada JKM Pulau Pinang sahaja)
Manakala untuk bantuan secara ‘one-off’ pula, berikut syarat-syaratnya:
- Program Anak Emas
- Anak mestilah seorang warganegara Malaysia.
- Pendaftaran perlu dilengkapkan sebelum anak berumur 2 tahun.
- Salah seorang ibu atau bapa kepada anak yang dilahirkan mestilah berdaftar di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang.
- Khairat Kematian
- Warganegara Malaysia.
- Penerima Program Penghargaan Warga Emas; Program Bantuan Ibu Tunggal dan Program Bantuan OKU.
- Meninggal dunia dalam tempoh Program i-Sejahtera ini masih dilaksanakan.
Cara Memohon
Untuk permohonan bantuan-bantuan di bawah i-Sejahtera ini, ia boleh dibuat secara dalam talian (online) di portal i-Sejahtera. Pemohon boleh klik butang Permohonan Baru dan Semakan Status. Kemudian masukkan nombor kad pengenalan dan ikuti langkah-langkah seterusnya untuk permohonan:
- Semak No Kad Pengenalan;
- Mohon Program Penghargaan untuk mendaftar ID dan kata laluan;
- Log Masuk menggunakan no kad pengenalan dan kata laluan yang ditetapkan.
- Lengkapkan borang permohonan dan muatnaik dokumen-dokumen sokongan.
- Sekiranya dokumen tidak dimuat naik melalui sistem, pemohon perlu menghantar salinan dokumen sokongan ke Pejabat Daerah/Pusat Khidmat KADUN/Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (bagi program OKU).
Status pendaftaran boleh disemak melalui Portal sama dengan tatacara di awal tadi. Selain itu, pemohon juga boleh menghubungi Pejabat Daerah, Pusat Khidmat KADUN, Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah (bagi program Bantuan OKU) untuk menyemak status pendaftaran.
Bagi mereka yang diluluskan pendaftarannya, pembayaran akan dibuat secara berperingkat. Bagi membolehkan pemohon menerima sumbangan bagi tahun semasa, pendaftaran mestilah lengkap dan disahkan sebelum 30 Jun pada setiap tahun.
Ini kerana, pendaftaran yang disahkan selepas tarikh 30 Jun akan menerima bayaran sumbangan pada tahun berikutnya. Cara pembayaran pual secara kredit terus ke akaun penerima.
Info dan maklumat lengkap berkenaan program ini sila rujuk di Portal Rasmi i-Sejahtera (DI SINI).