sumbangan asas rahmah

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM1,200: Semakan nama penerima & tarikh pengkreditan

Tahukah anda? Di bawah Belanjawan 2024, pihak Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif sama ada berbentuk tunai, e-wallet, pembiyaan, geran dan sebagainya. Bantuan dan inisiatif ini diperkenalkan khusus kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka dari kalangan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Salah satunya adalah melalui Sumbangan Asas Rahmah atau SARA yang diteruskan pelaksanaannya pada tahun ini. Kadarnya juga telah ditambahbaik berbanding sebelum ini. Berikut adalah maklumat dan penjelasan lanjut berkenaan bantuan tunai ini: –

Sumbangan Asas Rahmah (SARA)

Sumbangan Asas Rahmah adalah bantuan tambahan yang diberikan kepada para penerima Sumbangan Tunaui Rahmah (STR). Seperti mana yang ramai telah maklum, STR adalah bantuan kewangan kepada golongan B40 dan M40 yang dibayar secara berfasa dengan kadar tertentu.

Ia juga merangkumi beberapa kategori iaitu isi rumah, warga emas dan bujang. Bagi tahun 2024 ini, syarat-syarat kelayakan STR adalah seperti berikut:

  • Isi Rumah
    • Kahwin; atau
    • Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang menepati syarat; dan
    • Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
  • Warga Emas Tiada Pasangan
    • Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
    • Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
    • Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
  • Bujang
    • Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak mempunyai anak yang menepati syarat; dan
    • Had umur adalah 21-59 tahun; dan
    • Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
    • Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
    • Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.

Untuk SARA pula, ia dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari 2024 serta menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan.

Penambahbaikan SARA untuk tahun 2024

Bagi tahun 2024 ini, terdapat beberapa penambahbaikan SARA telah dilaksanakan iaitu:

  • Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
  • Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600; dan
  • Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Dengan penambahbaikan ini, SARA tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.

Syarat-syarat kelayakan SARA pula adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia;
  • Lulus Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan; dan
  • Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023.

Pengkreditan SARA

Setiap penerima yang dikenal pasti layak SARA akan menerima sumbangan berjumlah RM1,200 atau RM600 seperti berikut:

Bagi cara pengkreditan untuk penerima di Semenanjung Malaysia, mereka akan menerima SARA ini setiap bulan (dari Januari hingga Disember 2024) dengan kadar RM100 atau RM50 (mengikut kategori) melalui MyKad masing-masing. Ia kemudiannya boleh digunakan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di pasar raya atau kedai runcit yang mengambil bahagian dalam program pembelian tanpa tunai ini.

Manakala, untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, bayaran RM600 atau RM300 dibayar dua kali setahun pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 mengikut kategori melalui pengkreditan ke akaun bank / secara tunai, sama seperti kaedah pembayaran STR 2024.

Info dan maklumat lengkap berkenaan Sumbangan Asas Rahmah sila rujuk di Portal MyKasih (DI SINI).

Related Posts